Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
The Ministerial Interface Meeting On Financial Mechanisms For The Asean Power Grid
14/08/2025

 


Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, Menteri di  Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, telah menghadiri majlis pembukaan “The Ministerial Interface Meeting on Financial Mechanism for ASEAN Power Grid” yang diadakan secara maya pada 14 Ogos 2025.

Turut hadir ialah Yang Mulia Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Paduka Haji Ibrahim, Pemangku Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Yang Mulia Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi; dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, daripada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN Ministers on Energy Meeting (AMEM), dan dipengerusikan bersama oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi bagi ASEAN Economic Ministers (AEM); Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, selaku Pengerusi-Pengerusi Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat (AFMGM). 

Mesyuarat ini merupakan platform yang mengetengahkan dialog dasar strategik bagi menyelaras keutamaan sektor untuk masa depan tenaga yang lebih bersepadu, mampan dan berdaya tahan di rantau ASEAN. Mesyuarat juga memfokuskan kepada peranan ASEAN Power Grid (APG) dalam merealisasikan wawasan ASEAN 2045 dengan mempromosikan perdagangan kuasa elektrik pelbagai hala, mengiktiraf potensinya untuk mempercepatkan peralihan tenaga, membuka kunci sumber tenaga boleh diperbaharui, dan memperkukuh keselamatan tenaga. Inisiatif ini ditetapkan untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi, menyumbang kepada ekonomi ASEAN yang lebih berdaya saing dan mampan.

Bagi merealisasikan visi APG, Menteri-Menteri daripada negara anggota ASEAN menyatakan potensi peranan Inisiatif ASEAN Power Grid Financing (APGF), dengan sokongan Asian Development Bank (ADB) dan World Bank (WB), sebagai inisiatif penyelarasan pembiayaan yang penting. 

Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II mengiktiraf APG sebagai tonggak utama kerjasama tenaga serantau dalam sama-sama meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan, kebolehpercayaan sistem, dan integrasi tenaga boleh diperbaharui. Pembelajaran-pembelajaran utama daripada kemajuan yang dicapai melalui projek seperti Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) akan dapat membimbing pembangunan projek-projek yang serupa di masa hadapan, termasuk projek Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-PIP). Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam turut menegaskan komitmennya terhadap visi APG, khususnya dalam merealisasikan projek penyambungan tenaga elektrik rentas sempadan di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak. Secara keseluruhannya, usaha-usaha sedemikian menyokong agenda tenaga yang lebih luas dalam mempelbagaikan campuran tenaga, mengukuhkan daya tahan sistem, serta memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan berpatutan bagi rantau ini.  

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, antara lain, telah menegaskan sokongan terhadap ASEAN Power Grid (APG) dengan menekankan kepentingan tenaga yang mampu milik, mampan dan boleh dipercayai untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, menarik pelaburan serta mengukuhkan daya saing serantau kearah integrasi ekonomi ASEAN yang lebih mendalam. Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II sekali lagi mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Multilateral Development Banks (MDBs), terutamanya World Bank dan Asian Development Bank dalam cadangan ASEAN Power Grid Financing Initiative (APGF). Yang Berhormat Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap peranan inisiatif berkenaan dalam menggerakkan kewangan, menyediakan khidmat nasihat dan sokongan teknikal untuk membangunkan projek-projek yang bankable serta meningkatkan kapasiti dan keupayaan pihak berkepentingan. Usaha-usaha tersebut harus ditunjang oleh sokongan ‘upstream’ dalam memupuk persekitaran yang kondusif disokong oleh kesepaduan dasar yang kukuh merentasi rangka kerja sektor tenaga, perdagangan, pelaburan dan kewangan bagi mencapai impak maksimum. Yang Berhormat Menteri seterusnya menyatakan bahawa sekuriti tenaga adalah sebagai satu regional public good, dan menekankan kepentingan dalam memastikan akses saksama untuk semua negara anggota ASEAN kepada sumber-sumber dibawah cadangan APGF bagi mengelakkan jurang pelaksanaan projek-projek APG yang boleh menjejaskan kemajuan bersama. Penyelarasan yang rapat dengan setiap negara anggota ASEAN juga perlu bagi mengenalpasti sokongan bertepatan berdasarkan keperluan negara masing-masing. Yang Berhormat Menteri selanjutnya mengambil maklum cadangan memperluaskan inisiatif APGF bagi memperbolehkan penglibatan MDBs dan modal swasta yang lain telah diterima pakai dalam cadangan penubuhan Partnership for ASEAN Connectivity on Energy (PACE), dan seterusnya menyeru APGF untuk memanfaatkan kerjasama sub-serantau seperti BIMP-EAGA bagi merealisasikan APG dan memajukan visi ASEAN single market yang berdaya saing serta bersepadu sepertimana yang dinyatakan di dalam AEC Blueprint 2045.

Mesyuarat tersebut juga mencapai kesepakatan bagi menyokong Kenyataan Media Bersama bagi “Ministerial Interface Meeting on Financial Mechanisms for the ASEAN Power Grid”. Ianya dihadiri oleh semua negara anggota ASEAN, dengan sokongan Sekretariat ASEAN. Timor-Leste turut hadir atas kapasiti mereka sebagai pemerhati.